Monday, April 19, 2010

DARI HATIKU

salam.

agak lama juga tidak mengetuk kunci kibod di laptop untuk mengisi ruang di sini.

alhamdulillah, konsert kau di hatiku menerima sambutan yang luarbiasa dari segi emosi dan kasih-sayang yang dilemparkan dan didakap oleh semua yang berada di dewan utama, manhattan ballroom, berjaya times square hotel pada 9 dan 10 april lalu.

umum sedia maklum sambutan dari segi wang ringgit pembelian tiket dan meja agak suram.

malah saya terpaksa menanggung segala kos, agar hasil penjualan itu dapat didermakan.

kalau saya nak guna wang yang terkumpul untuk menanggung kos, pasti tak ada satu sen pun yang dapat didermakan.

dengan seikhlas hati, saya sanggup menanggung kerugian, kerana apalah wang ringgit jika dibandingkan dengan limpahan rahmat Allah swt pada kedua-dua malam konsert berlangsung.

saya bersyukur teramat sangat ke hadrat Allah swt kerana misi untuk memberikan persembahan yang terbaik telah menjadi sesuatu yang luarbiasa dan di luar jangkaan saya sehingga membuatkan saya tergamam dan tidak henti-henti memanjatkan syukur ke hadratNya.

komitmen daripada setiap artis yang terlibat adalah luarbiasa dan mereka ternyata tidak berkira dalam memberikan persembahan yang tersangat baik walaupun ganjaran yang telah saya janjikan kepada mereka adalah amat kecil jika dibandingkan dengan harga yang mereka biasa letak untuk persembahan korporat mereka.

kasih sayang tulus dan ikhlas daripada setiap penonton/peminat yang telah membeli tiket amat dirasai dan terpahat di setiap hati kami.

kejutan yang sengaja saya rahsiakan daripada penonton, "menjadi".

kemunculan zaiton sameon nyata membuatkan semua yang berada di situ merasakan emosi, jiwa dan nurani anak seni yang dipinggirkan itu apabila semua berdiri memeberikan zaiton "standing ovation" dan ramai juga yang sebak dan menitiskan air mata.

saya tidak mampu mengungkapkan kejadian luarbiasa pada konsert kau di hatiku selama dua hari itu.

yang mampu saya ucapkan ialah, syukur alhamdulillah, kerana limpah rahmatNya mencurah-curah tanpa henti.

syukur alhamdulillah.